WANITA kerap dikaitkan dengan pelbagai peranan penting dalam menjamin
keharmonian rumah tangga, masyarakat dan negara. Namun, hakikatnya,
sama ada kita sadar atau tidak, peranan yang dikhususkan kepada wanita
itu diselewengkan sehingga menimbulkan berbagai kesan buruk.Ini terbukti
dengan bertambahnya jumlah wanita yang rusak akhlak, banyaknya kasus
perceraian, serta berleluasanya perbuatan kriminal yang dilakukan oleh
anak muda akibat daripada salah asuhan atau pengaruh lingkungan.
Fenomena ini sewajarnya dipandang serius karena keutuhan masyarakat pada
masa akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana wanita menangani
permasalahan ini secara bijaksana.
Peranan utama wanita
Firman Allah bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia,
melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Adz-Dzaariyat, ayat 56).
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa peranan atau tanggungjawab
utama wanita adalah sama dengan lelaki yaitu mengabdikan diri kepada
Allah. Adalah menjadi kewajipan wanita Muslim untuk berusaha sebaik
mungkin agar dapat menjadi seorang insan yang tunduk dan patuh
kepada-Nya, semata-mata dengan melaksanakan segala perintah Allah dan
rasul-Nya. Mereka juga hendaklah menjauhi segala perkara yang ditegah.
Kekuatan iman yang jitu adalah aset terpenting bagi seorang wanita
agar menjadi benteng bagi mengharungi sebarang bentuk cabaran.
Wanita dan keluarga/rumah tangga
Peranan wanita dalam keluarga atau rumah tangga adalah amanah yang
diperintahkan oleh Allah, sebagaimana firman-Nya, yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang
berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di
antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah
memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 58)
Dalam sesebuah rumah tangga, dua peranan utama yang sewajarnya
dimainkan oleh seseorang wanita iaitu sebagai isteri dan ibu. Seorang
isteri sentiasa mendampingi suaminya sama ada dalam keadaan susah atau
senang. Ibu pula terbabit secara langsung dalam memberi pendidikan
kepada anak-anak serta menjaga hal ehwal rumah tangga dengan bantuan
suami.
Wanita dan pekerjaan
Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan
seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam
jawatan yang memerlukan khidmat wanita seperti doktor, tenaga pengajar
kepada kaum wanita serta bidang lain yang bersesuaian.
Bagaimanapun menurut Islam, keharusan wanita untuk keluar bekerja mestilah mengikut batas syarak iaitu:
Kerja itu mesti bersesuaian dengan sifat kewanitaan.
Kerja itu tidak menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu
Bertujuan murni sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain
Sentiasa memelihara kehendak syarak seperti menutup aurat.
Sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada berlakunya pergaulan bebas dengan lelaki.
Mendapat restu daripada penjaga, bapa atau suami.
Mengelak daripada melakukan perkara yang boleh membawa fitnah sama
ada dari segi tindakan, cara berpakaian atau mengenakan perhiasan.
Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah
atau mengabaikan tanggungjawabnya utama sebagai serikandi dan bidadari
dalam rumah tangga.
Wanita dan tanggungjawab sosial
Apabila memperkatakan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan
masyarakat dan negara, sejarah membuktikan bahawa sejak zaman
Rasulullah, wanita secara aktif memainkan peranan mengikut batas
ditetapkan. Misalnya, wanita bersama-sama lelaki mempelajari ilmu dan
petunjuk Islam. Ada di antara mereka meriwayatkan hadis, bahkan
Saidatina Aishah menunjukkan ketokohannya sebagai seorang yang mencapai
kedudukan ilmu tinggi, sehingga sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan
Osman bertanya kepadanya mengenai ilmu faraid.
Wanita juga berperanan sama dengan lelaki dalam usaha membendung
keburukan yang berlaku dalam masyarakat kerana ini adalah tanggungjawab
setiap Islam.
Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan
untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang
mungkar dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran, ayat 110).
Kepincangan dan kebejatan, terutama di kalangan muda-mudi hari ini
sewajarnya menarik perhatian wanita untuk sama-sama berganding bahu
mencari penawar paling mujarab.
Tugas ini berat dan memerlukan kesabaran, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak.
Menangani peranan wanita secara bijaksana
Keadaan semasa secara tidak langsung memaksa wanita memainkan peranan
seimbang di antara alam rumah tangga dan dunia masyarakat luar. Hal ini
sebenarnya cabaran besar kepada wanita dan meletakkan wanita di
persimpangan.
Persoalannya ialah sejauh mana seseorang wanita itu mampu
melaksanakan semua tanggungjawab di atas serentak atau wajarkah mereka
mengabaikan salah satu daripadanya? Jawapannya, pasti terletak di tangan
wanita.
Sesungguhnya wanita sentiasa memerlukan bantuan dan sokongan daripada
semua pihak agar dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Perkara berikut adalah di antara panduan yang boleh digunakan oleh wanita untuk membantu mereka menjalankan tanggungjawab itu:
Sentiasa memantapkan keimanan kepada Allah dan meyakini akan
pertolongan-Nya. Keimanan mendalam akan dapat melahirkan wanita yang
yakin pada dirinya sendiri dan mampu meneroka segala potensi anugerah
Allah.
Melengkapkan diri dengan tiga ciri utama
Ilmiah iaitu mengetahui sebanyak mungkin ilmu agama dan ilmu lain, termasuk hak sebagai wanita menurut perspektif Islam.
Siasah iaitu cuba memahami perkembangan politik tempatan dan
antarabangsa untuk meluaskan fikiran dan pandangan sebagai seorang
wanita yang peka kepada isu semasa.
Amaliyyah iaitu mengamalkan apa yang dipelajari dan difahami secara ilmiah.
Mendapatkan sokongan dan pengiktirafan dari orang yang paling hampir
sama ada suami, ibu bapa atau keluarga. Sokongan dan kebersamaan mereka
ini menjadi penggerak utama kepada tugas seorang wanita.
Mempelajari secara bersungguh-sungguh bagaimana untuk menguruskan masa dengan lebih sistematik.
Perlu ada perancangan kerja dan melaksanakan kerja mengikut susunan keutamaan.
Sentiasa menjalin hubungan yang baik dengan keluarga mentua seperti menjaga hubungan baik dengan keluarganya sendiri.
Sentiasa menilai perlakuan diri sendiri atau memuhasabah untuk
mengukur sejauh mana baik buruknya sesuatu tindakan atau perkara yang
dilakukan.
Sentiasa beristighfar dan memohon keampunan kepada Allah di atas kesilapan yang dilakukan sama ada disedari atau tidak.
Berlapang dada di atas teguran-teguran membina yang diberi oleh sesiapa sahaja untuk memperbaiki diri.
Melakukan kerja kebajikan umum secara amal supaya pelaksanaannya menjadi lebih mudah dan tersusun.
Berbahagialah wanita yang dapat menjalankan tugas di atas dan
memainkan peranannya sebagai seorang wanita cemerlang mengikut kaca mata
Islam. Yakinlah dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya bermaksud:
“Sesiapa yang mengerjakan amal salih, sama ada lelaki atau wanita dalam
keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan
yang baik, dan sesungguhnya akan kami berikan balasan kepada mereka
dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan.”
(Surah an-Nahl, ayat 97).
Sumber: http://zalina.blogdrive.com/
Rabu, 19 Oktober 2011
Fungsi wanita bukan sekadar seorang isteri-ibu
Posted by Dini Ariani on 19.09





0 komentar:
Posting Komentar