Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan.
Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan.
Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan.
Tidak ada kebaikan bagi shadaqah kecuali niat yang ikhlas.
Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesihatan dan keamanan

Jumat, 10 Desember 2010

Bersegera bendung salah laku belia kita

umlah kes yang melibatkan belia Melayu bergaduh setelah berseronok dengan meminum arak di tempat hiburan hingga ke waktu subuh kian ketara.

Ada antara mereka yang cedera parah dan terbunuh. Ia satu masalah sosial yang memalukan dan mencabar imej masyarakat kita. Banyak persoalan yang perlu diberikan jawapan jika kejadian seperti diteliti dengan jujur. Perubahan sikap di kalangan belia juga harus menjadi keprihatinan setiap anggota masyarakat, kerana keadaan seperti ini amat jarang berlaku pada dekad-dekad yang lalu.

Kita juga tidak seharusnya meletakkan kesalahan pada persekitaran semata-mata. Cabaran akan bertambah hebat pada masa akan datang dengan terbitannya pusat peranginan bersepadu (IR), jika usaha tidak dilakukan untuk menyedarkan seluruh ibu bapa dan menyiapkan mereka dengan kemungkinan yang akan berlaku. Menunggu sehingga masalah berlaku dan memikirkan huraiannya adalah satu pemikiran lapuk.

Melakukan kekerasan terhadap orang lain apatah lagi membunuh atas apa alasan sekalipun, tidak dapat diterima. Mencedera atau membunuh adalah satu kesalahan di sisi semua agama dan undang-undang. Mereka yang merusuh boleh dihukum penjara dan sebat dan mereka yang membunuh boleh dihukum mati.

Setiap manusia tidak dapat mengelakkan diri daripada masalah, demikian juga hubungan sesama manusia yang ada kalanya menyebabkan kemarahan, terutama para remaja yang melanggani tempat hiburan, ditambah dengan pengaruh arak yang ditogok. Kerana punca yang kecil menyebabkan mereka bertindak ganas dan liar tanpa memikirkan akibat tindakan mereka.

Mereka yang hanya mengikut perasaan, menyangka kekuatan kumpulan boleh membelasah dan menakutkan kumpulan yang lain, adalah peraturan rimba dan hanya menjadi cara hidup binatang buas yang bertindak mengikut naluri (instict), sedang manusia dianugerahkan akal yang dapat berfikir.

Apakah kecenderungan remaja untuk menghabiskan masa di tempat hiburan yang mengetepikan nilai adat, akhlak dan agama tidak mendapat perhatian masyarakat, dan hanya akan diperkatakan apabila kisah-kisah liar mereka mendapat liputan meluas.

Lebih memalukan lagi, apabila sejumlah gadis Melayu yang terus hanyut dan membiarkan diri sebagai barang dagangan yang diratah jantan-jantan yang sanggup membayar harga yang dipintanya atau menyerahkan diri dengan percuma kerana cinta. Ia bukan satu perkara yang aneh dan menghairankan kerana maruah tidak lagi menjadi pertimbangan.

Golongan samseng dan mereka yang telah kehilangan sifat malu ini biasanya tidak berada dalam radar para aktivis yang mahu menyelesaikan masalah masyarakat.

Belia bak kuman yang mudah berjangkit kerana kehidupan yang tidak tertakluk kepada peraturan amat disenangi oleh golongan muda.

Fenomena yang menakutkan semakin meluas, kerana itu angka penghuni pusat-pusat tahanan pemulihan akhlak semakin bertambah khususnya daripada kalangan remaja Melayu.

Membawa mereka yang bermasalah ke pangkal jalan bukan satu-satunya huraian, jika jumlah yang terus menghabiskan masa di pub atau tempat hiburan yang menghidangkan arak semakin meningkat.

Jumlah gadis yang gagal pulang ke rumah kerap dilaporkan. Ibu bapa tidak lelap tidur malam - bimbang apa yang terjadi kepada remaja mereka dan akhirnya akan membuat laporan kepada polis. Tangan mereka juga terikat untuk membantu mereka yang kehilangan anak remaja sehinggalah anak-anak itu terjebak dengan jenayah.

Alam belia ialah tahap perubahan yang agak sukar kerana anak-anak ini mahu menunjukkan bahawa mereka boleh membuat keputusan.

Perkataan ‘jangan’ atau ‘tidak boleh’ adalah perkataan yang tidak mahu didengar. Umumnya mereka lebih emosi daripada bersifat rasional. Setiap halangan diterjemahkan sebagai usaha untuk mengongkong.

Gejala sosial dalam kalangan remaja memerlukan penelitian yang mendalam. Usaha yang pernah dilakukan untuk menyedarkan para remaja adalah dihargai dan disanjungi tinggi.

Tetapi cara ini lebih berbentuk luaran dan kurang membantu menyelesaikan masalah yang sedia ada. Ia dijangka terus bertambah, selagi tidak dibanteras punca masalah dan mengenal pasti di mana ia bermula.

Walau apa pun halangannya, ia menjadi tanggungjawab semua pihak – daripada keluarga terdekat, jiran sehingga pihak berkepentingan dalam hal ehwal masyarakat – untuk menanganinya dengan berkesan.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Cheap Web Hosting | new york lasik surgery | cpa website design