Sudah terluka, belum sempat pulih terluka lagi! Begitulah nasib seorang remaja yang menemui saya beberapa hari lalu. Dia menemui saya berbekalkan harapan untuk menghuraikan masalahnya. Sejak tiga bulan lalu, dia tidak lagi kedatangan haid. Sebelum ini kedatangan haidnya berlaku secara tetap setiap bulan.
Dia kelihatan tenang semasa menemui saya dan menjawab semua soalan dengan selesa. Namun, remaja itu mula kelihatan muram apabila dia memberitahu saya tentang perpisahan yang berlaku antara dia dengan teman lelakinya. Ini berlaku dua bulan lalu dan ia menjejasnya secara mendadak. Dia ditimpa masalah kemurungan.
Sejak kehilangan teman lelakinya, dia tidak lalu makan dan telah mengalami kekurangan berat badan yang agak ketara. Dia juga mengaku bahawa waktu tidurnya selalu terganggu dan dia sering berkeadaan tidak bermaya. Gangguan emosi sedemikian boleh menjejas keseimbangan hormon-hormon seks wanita sehingga boleh melengahkan kedatangan haid dan menyebabkan putaran haid jadi tidak menentu.
Saya amat bersimpati dengan nasib malang yang menimpanya. Dia cuba untuk menahan diri daripada menitiskan air mata. Nampaknya, remaja itu tabah dan teguh menghadapi dugaan hidup yang mengujinya ketika ini. Namun, saya yakin masalah yang dihadapinya akan pudar dalam ingatan mengikut edaran masa. Masa merubah keadaan dan boleh menjadi penawar luka.
Salah satu ujian yang dilakukan bagi setiap wanita yang pernah melakukan kegiatan seks dan terlewat kedatangan haid ialah ujian untuk mengesahkan kehamilan. Ternyata ujian itu positif. Gadis remaja itu terlewat kedatangan haid kerana dia hamil. Ini yang dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Pada usia muda, remaja itu terpaksa mengharungi tragedi ditinggalkan teman lelaki yang telah menghamilkannya.
Sekarang, dia terpaksa menghuraikan masalah itu secara sendirian tanpa bantuan teman lelakinya dan tanpa pengetahuan anggota keluarganya. Melalui ujian ultrasound, usia bayi dalam kandungan sudah melebihi tiga bulan. Setelah diberikan penjelasan dan kaunseling, remaja itu mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungannya.
Pengguguran di Singapura boleh dilakukan oleh remaja di bawah usia 21 tahun tanpa pengetahuan dan kebenaran ibu bapa. Ya, benar. Pengguguran boleh dilakukan tanpa keizinan ibu bapa. Para remaja boleh merahsiakan kehamilan mereka dan boleh menjalani pengguguran tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.
Dulu pengguguran hanya dibenarkan dalam keadaan apabila kehamilan boleh membahayakan keselamatan seorang wanita. Pada 1967, peraturan dipinda dan pengguguran dibenarkan bagi masalah kecacatan dalam kandungan, mangsa jenayah seks dan seks dengan orang yang tidak siuman.
Pada 1968, undang-undang diperluaskan untuk mengizinkan pengguguran atas dasar masalah keluarga, sosial dan ekonomi.
Akta Pengguguran (Termination of Pregnancy Act) yang diperkenalkan pada 1974 menetapkan bahawa doktor yang mempunyai kelayakan boleh melakukan pengguguran atas permintaan wanita yang hamil kurang daripada 24 minggu di sebuah hospital atau institusi yang bertauliah.
Oleh sebab terdapat kelonggaran dalam akta pengguguran, perangkaan didapati meningkat dan kaunseling secara wajib (mandatory counselling) diperkenalkan pada 1986.
Pengguguran hanya boleh dilakukan setelah 48 jam berlalu selepas menjalani kaunseling (pre-abortion counselling).
Setelah diperkenalkan kaunseling wajib, perangkaan bagi pengguguran didapati berkurangan.
Saya amat simpati dengan nasib yang menimpa remaja itu. Nasihat saya kepada para gadis remaja ialah mereka harus lebih berhati-hati apabila berpacaran . Apabila sudah terlanjur, padahnya tidak berpihak kepada kaum wanita. Nasihat saya kepada para ibu bapa yang mempunyai anak perempuan ialah supaya lebih prihatin dan waspada. Mereka harus tegas mendidik dan mengawal anak-anak mereka dengan baik. Tanpa pengetahuan mereka, anak gadis mereka yang hamil boleh menjalani pengguguran secara rahsia!
0 komentar:
Posting Komentar