Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan.
Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan.
Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan.
Tidak ada kebaikan bagi shadaqah kecuali niat yang ikhlas.
Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesihatan dan keamanan

Jumat, 10 Desember 2010

Usah ikut-ikut tatu badan

Semasa menunggu giliran untuk membeli setem di sebuah pejabat pos dengan ramai pelanggannya adalah orang-orang ekspatriat, seorang anak kecil asyik menanyakan ibunya mengenai setem.

Walau si ibu telah menjelaskan, anak kecil berumur lebih kurang empat tahun itu masih terus bertanya mengenainya.

Kebetulan seorang lelaki kulit putih tiba dan beratur di belakang. Anak kecil itu dengan kuat berkata orang itu ada ‘setem’ di badannya.

Setelah meminta izin lelaki tersebut, si ibu menerangkan kepada anaknya bahawa “setem” di badan lelaki itu dipanggil tatu.

Anaknya menunjukkan kepada ibunya cap yang dibuat guru tadikanya dan menyatakan bahawa itu juga tatu. Ibunya katakan bahawa tatu tidak boleh hilang dengan mudah, tidak seperti cap gambar binatang yang dibuat di sekolahnya.

Tatu bagi orang Barat bukanlah sesuatu yang baru dan mereka tidak segan bercakap mengenainya.

Tatu adalah lukisan di badan seseorang, tidak kira di bahagian mana badan asalkan dianggap sesuai oleh orang yang bertatu. Lukisan tatu sudah bermula beratus tahun lalu.

Ada bangsa yang menggunakan tatu untuk tujuan keagamaan dan ada pula untuk mengukuhkan identiti bangsa. Pengembala lembu di Amerika Syarikat semasa permulaan sejarah menggunakan tatu di badan lembu untuk memastikan hak milik mereka.

Kebelakangan ini, ramai pula anak-anak muda kita yang tatu badan-badan mereka dan tidak segan menonjolkannya.

Kalau kita pergi ke pusat membeli-belah atau tempat makan, kita mudah nampak pasangan muda yang mempunyai anak yang masih didorong mempamerkan tatu di badan mereka. Ada kalanya, bukan sahaja si suami malah si isteri juga berbuat demikian.

Mereka menganggap ini merupakan satu kenyataan fesyen dan mereka bangga.

Semasa menjadi pengetua di sebuah sekolah di daerah barat Singapura, seorang murid memberitahu bahawa teman sedarjahnya ada tatu di bahagian punggung.

Murid berkenaan mengaku dan menunjukkan tatu tersebut sebelum pihak sekolah meminta bantuan ibu bapanya untuk menyelesaikannya kerana melanggari peraturan sekolah.

Ketika itu, anak-anak Melayu menyembunyikan tatu mereka. Biasanya tatu dikaitkan dengan mereka yang terlibat dalam kumpulan kongsi gelap ataupun perbuatan yang tidak baik.

Kali kedua saya berdepan dengan murid yang bertatu semasa bertugas di makhamah untuk mereka yang di bawah umur 16 tahun. Seorang murid yang ditangkap kerana terlibat dalam pergaduhan beramai-ramai mempunyai tatu di tangannya.

Murid ini beragama Islam namun tatunya ialah gambar Buddha. Hakim berasa hairan apabila murid tersebut menegaskan bahawa dia beragama Islam! Setelah disoal, dia menyatakan bahawa kesemua temannya dalam kumpulan tersebut menggunakan lambang itu sebagai tanda kesepakatan.

Sedekad lalu, murid sekolah tidak berani mengukir tatu juga akan menyembunyikannya. Ada pula sekolah yang menggantung persekolahan murid yang bertatu.

Seorang murid nakal dan bertatu yang banyak melakukan kesalahan di sekolah dan di luar sekolah pernah merayu kepada pihak sekolah untuk meneruskan pelajarannya. Dia berjanji akan menghapuskan ukiran tatu di tangannya untuk menunjukkan kesungguhannya bertaubat.

Selepas menyambung persekolahannya, dia secara sukarela menerangkan pengalamannya menghapuskan tatu itu yang diukir kerana tekanan anggota kumpulannya.

Menurutnya, belanja menghilangkan tatu agak mahal dan sakit kerana bahan pembakar kulit digunakan.

“Dulu, bila nak tatu, saya tak fikir panjang. Tengok kawan buat, saya pun ikut-ikut. Sekarang apabila nak hilangkan, sakit pula,” jelasnya kepada teman sedarjah.

Ada yang mengukir tatu untuk “mencantikkan” tubuh sementara ada pula kerana terikut-ikut idola mereka, seperti sebahagian peminat bola sepak terhadap pemain terkemuka David Beckham, bekas pemain Manchester United dan Real Madrid. Malahan seorang peserta wanita American Idol kerap mendedahkan tangan untuk mempamerkan tatu.

Bagaimana kita dapat mendidik anak-anak kita supaya jangan terikut-ikut dengan trend sebegini?

Ini satu tugas yang berat.

Salah satu pendekatan ialah menerangkan bahawa tatu tidak sepatutnya menjadi lambang kehidupan kita. Ada banyak lagi yang boleh dijadikan teladan, terutama sekali nilai-nilai hidup yang perlu kita utamakan untuk mengejar kemajuan.

Jangan suka terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh mereka yang menjadi pujaan.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Cheap Web Hosting | new york lasik surgery | cpa website design